Pantang Larang Pembinaan Ayat

Soalan 3(a) dalam kertas 2 Bahasa Melayu ialah soalan wajib iaitu soalan membina ayat. Walaupun markahnya hanya 6 tetapi tidak harus diambil mudah. Para pelajar perlu mengetahui pantang larang dalam penghasilan ayatnya. Di bawah ini saya akan jelaskan beberapa perkara yang wajar diketahui agar kehilangan markah dapat dikurangkan.

Perkara yang perlu diberi perhatian utama ialah arahan soalan. Di situ terdapat beperapa perkara yang dilarang anda lakukan. Mari kita lihat dan teliti arahan yang terdapat dalam soalan ini. Terdapat dua versi arahan yang boleh diperhatikan di bawah. Kata atau ayat yang telah dihitamkan akan dijadikan fokus utama dalam perbincangan seterusnya.

Tulis satu ayat bagi setiap perkataan di bawah supaya jelas menunjukkan bahawa anda faham akan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan atau menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.

Bina dua ayat bagi tiap-tiap perkataan di bawah supaya jelas menunjukkan bahawa anda faham akan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan serta menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas.

Arahan yang pertama ialah "Tulis satu ayat" atau "Bina dua ayat". Arahan ini meminta pelajar membina satu ayat bagi setiap perkataan atau dua ayat bagi satu perkataan (bagi kata banyak makna). Jika para pelajar diminta membina satu ayat, bermakna para pelajar diberi 6 kata yang diuji. Jika arahan mengkehendaki ditulis dua ayat, maknanya para pelajar diuji dengan 3 kata sahaja. Pendek kata, anda tetap perlu membina 6 ayat yang menghasilkan 1 markah setiap ayat. Kesilapan yang sering dilakukan oleh para pelajar dengan arahan yang mudah ini ialah membina satu ayat bagi 6 atau 3 kata ini. Kesalahan ini akan menyebabkan pelajar kehilangan 5 markah kerana akan diberikan 1 markah sahaja sekiranya ayatnya betul.

Selain itu, terdapat 4 larangan dalam arahan soalan yang perlu diberi perhatian. Larangan tersebut ialah "tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan serta menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa atau nama khas". Jika pelajar melanggar tegahan ini, mereka akan menerima 0 markah. Larangan pertama dan kedua iaitu menambah dan menukarkan imbuhan berlaku kerana pelajar gagal memilih ayat yang sesuai untuk perkataan tersebut. Kebiasaannya pelajar 'terperangkap' dan terpaksa menambahkan imbuhan apabila diuji dengan kata kerja tanpa imbuhan atau dengan imbuhan akhiran. Kebiasaannya mereka membina ayat aktif. Sepatutnya, pelajar membina ayat cakap ajuk atau ayat pasif ganti nama diri pertama dan kedua yang sesuai untuk kata kerja tanpa imbuhan atau kata kerja berimbuhan akhiran.Perhatikan ayat yang diberikan di bawah.

Kata yang diuji : baca

(a) Abu baca buku yang dihadiahkan oleh ayahnya dalam masa yang singkat sahaja. [ayat aktif]

(b) Budin membaca buku yang dipinjam dari perpustakaan kelmarin. [ayat aktif]

(c) Buku bertajuk Islam Sebagai Cara Hidup saya baca ketika menunggu di perhentian bas. [ayat pasif 1]

(d) "Rosli, tolong baca sinopsis cerita Panglima Buntung", kata Cikgu Afifah. [ayat cakap ajuk]

Pelajar yang membina ayat (a) dan (b) mendapat 0 markah kerana   melakukan kesalahan. Dalam ayat (a), pelajar membina ayat aktif tanpa imbuhan. Ayat aktif ini memerlukan penggunaan imbuham mem+baca. Ayat (b) pula betul dari segi bahasa tetapi salah kerana melanggar peraturan yang telah ditetapkan dalam arahan soalan. Hanya ayat (c) dan (d) sahaja yang diterima dan mendapat 1 markah.

Dalam arahan soalan juga para pelajar ditegah menggunakan kata yang diuji sebagai peribahasa dan kata nama khas. Contoh ayat yang betul tetapi melanggar arahan soalan adalah seperti di berikan di bawah.

Kata yang diuji : telur

(a) Kedudukannya sebagai pengerusi pertubuhan itu seperti telur di hujung tanduk kerana akan dicabar dalam pemilihan pada tahun ini.

(b) Khalid bertekad untuk keluar dari Kampung Telur untuk mencari pekerjaan di Kuala Lumpur.